PERUTUSAN CEO SEMPENA TAHUN BARU 2022
01Jan, 2022
PERUTUSAN TAHUN BARU 2022 KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF SERI AL HUDA
Assalaamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Kita mengucap syukur kepada Allah atas limpah kurniaNya, rahmahNya dan kasihNya dengan ujian, musibah dan pelbagai mehnah cabaran selama lebih 2 tahun ini sejak kita dilanda pandemik pada awal 2020 lalu dan yang terkini musibah banjir. Kita berdoa agar ianya berlalu dengan seribu satu macam pengajaran dan iktibar yang mencelik, mematang dan mendewasakan kita sebagai persediaan untuk tahun dan masa hadapan yang baru.
Kesan terhadap sekolah dan warganya, murid dan ibu bapa juga tidak terkecuali sehingga kita dapati ramai yang syahid, terpaksa meninggalkan sekolah tercinta kerana tekanan hidup dan masalah yang melanda. Kepada mereka yang meninggalkan sekolah, kami ucapkan Selamat Maju Jaya namun jika terdapat hutang yang belum dilunaskan, eloklah berbincang dahulu dengan pihak sekolah.
Dengan keadaan sesi persekolahan yang tidak menentu dan kaedah pengajaran yang pelbagai, kadar yuran telah dilaraskan sementara untuk menyantuni kemampuan dan keadaan para ibu ayah namun sekolah tiada pilihan untuk terus membela guru dan staf agar tetap mendapat habuan/upah atau gaji bulanan sementara kos lain tidak terlalu besar. Dalam pada itu, kita juga berusaha untuk membantu para pelajar yang mempunyai masalah peranti atau masalah pembelajaran dengan menyumbang laptop dengan kerjasama dan bantuan dari Badan Keluarga Al Huda atau BAKA. Ianya adalah untuk mempastikan para pelajar dapat belajar dengan lebih baik dan mengekalkan hubungan pencarian ilmu dengan sekolah dan guru secara berterusan.
Sokongan dan kerjasama ibu bapa melalui BAKA amat diharapkan agar hubungan yang lestari dan lengkap melengkapi dapat memajukan sekolah dan murid ke arah yang lebih cemerlang.
Tahun 2022 membawa harapan baru namun tidak boleh diandaikan yang masa kita adalah banyak kerana masa berlalu begitu pantas. Ini juga halnya dengan kemajuan pendidikan, kemajuan teknologi, kemajuan dalam pelbagai sudut yang perlu kita semua tempuhi dengan kacamata Islami dan praktikal yang membantu. Strategi kita untuk kekal relevan dan berperanan dalam membangunkan potensi murid sebagai insan berakhlak, beradab, bermotivasi, berperanan dalam masyarakat dan menyumbang kepada kemajuan diri, keluarga dan masyarakat perlu di gembeling sama ada dari sudut fizikal atau mental, dari sudut akal dan logik atau sudut pandang Islami.
Kita sedang cuba membangunkan sebuah blok tambahan yang mencantumkan blok A dan C di Kompleks Pendidikan Islam Integratif SERI AL HUDA ( Kompleks ) untuk sementara ini paling rendah satu tingkat. Namun dengan kesempitan masa dan dana, kita mulakan dengan kerja piling dan kerja asas pada waktu cuti sekolah Disember dan akan mula menaikkan tingkat bawah pada bulan Mac, in syaa Allah. Dengan siapnya tingkat bawah, kita akan menggunakan ruang itu sebagai kantin sekolah lengkap dengan dapur dan tempat makan. Kerja-kerja piling telah tamat pada 30hb Disember 2021 lalu namun beberapa kerja kecil masih berjalan.
Kita juga akan memperkenalkan semula Student QRPoints kepada semua agar ianya diikuti oleh semua murid dan ibu bapa sebagai asas pengukuran kemenjadian murid khususnya dalam hal berkaitan akhlak dan adab, nilai dan karakter, khususnya karakter Al Hikmah.
Kita juga akan memperkenalkan pengajaran Bahasa Inggeris secara atas talian menggunakan DynEd system yang banyak membantu mempercepatkan proses pembelajaran Bahasa Inggeris. Namun ini akan dikenakan bayaran tambahan bulanan sebanyak RM25 seorang.
Disamping itu kita mencari jalan untuk menggunakan kaedah hibrid dalam pendidikan agar lebih bersedia pada masa akan datang kerana pandemik atau musibah akan tetap muncul manakala kemajuan pendidikan terus berkembang. Kesediaan ke era teknologi perlu diteruskan demi masa depan murid-murid. Perkara-perkara ini adalah antara perkara yang dimaksudkan dengan kesediaan kita untuk menghadapi pelbagai kemajuan dalam pelbagai sektor. Jika kita bertindak mengelak atau menunda, kita akan ketinggalan, selepas berada di persada pendidikan selama 32 tahun, kita harus lebih bersedia untuk 32 tahun akan datang.
Perkara ini juga melibatkan pemerkasaan guru dan staf dengan pelbagai kursus dan latihan sebagai langkah persediaan agar tahap professionalisme dan kualiti kerja terus meningkat.
Akhirnya sebagai peringatan bersama, kami menyeru semua pihak, ibu bapa, murid, staf, pembekal dan pelawat ke sekolah kita agar mematuhi segala SOP yang dinyatakan tanpa keraguan kerana ianya adalah usaha sekolah untuk menjaga keselamatan dan kesihatan kita bersama. Mengumpul dan mengawal ratusan pelajar bawah 12 tahun bukan perkara mudah, ditambah dengan SOP atau peraturan yang ditetapkan tanpa kerjasama semua pihak. Kerjasama semua amat dihargai dan kita doakan agar tahun 2022 berjalan lancar dan perkara yang perlu dilakukan dapat dilaksanakan dengan mudah dan jaya.
Sekian, terima kasih.
Selamat Tahun Baru 2022
SYED ISMAIL AL HABSHI
Ketua Pegawai Eksekutif
SERI AL HUDA
[learn_press_profile]
No comment yet! You will be the first to comment.