Tasawuf Menurut Said Hawwa

  • PDF

Said Hawwa merupakan ilmuwan haraki yang penuh dedikasi menekuni dalam bidang  pendidikan kerohanian. Penulis yang cukup prolifik ini mempromosikan kerohanian Islam yang digabungkan dengan semangat perjuangan islah. Dalam buku Tarbiyatuna al-Ruhiah, Said Hawwa menjelaskan mengenai tasawuf yang sepatutnya diamalkan oleh orang Islam terutama ahli gerakan dakwah dan membuat pencitraan semula ilmu tasawuf dengan motif tersirat untuk melepaskan ilmu tasawuf dari imej ekslusif dan elit.

Beliau ingin memasyarakat kembali ilmu tasawuf kerana setiap Muslim sangat memerlukan ilmu tersebut dan perlu memahaminya secara betul dan tepat. Tajuk asal buku Tarbiyatuna al-Ruhiah yang dicadangkan ialah Tasawwuf al-Harakah al-Islamiyyah al-Mu’asarah (Tasawuf gerakan Islam semasa) memandangkan kebanyakan kupasannya menekankan pengamalan sufi dikalangan orang yang mengelarkan diri sebagai ahli gerakan dakwah dan Islam.

Allah menjadikan pendidikan kerohanian asas kejayaan seseorang dalam hidupnya kerana seorang yang melakukan ibadat tetapi tidak ikhlas maka amalan adalah sia-sia dan seseorang yang beribadat tetapi tidak memiliki akhlak Islam merupakan penyakit hati yang  tidak ada nilaian di sisi Allah. Oleh itu, proses pembaikan adalah melalui tazkiyyah atau penyucian jiwa.

Sepanjang sejarah, ilmu tazkiyyah dan tasawuf telah diserapi dengan penyelewengan dan hadith–hadith yang daif dan palsu yang menyebabkan ilmu ini perlu kepada pembaharuan dengan meninggalkan perkara-perkara tersebut dan khurafat. Di samping antara  tugas utama Rasulullah adalah tazkiyyah jiwa manusia. Perkara ini menyebabkan Said Hawwa memberi perhatian utama dalam bidang pendidikan kerohanian dan penyucian jiwa dalam penulisan dan memiliki penulisan khusus dalam bidang ini iaitu buku berikut :
i.    Tarbiyatuna al-Ruhiah
ii.    Al-Mustakhlis fi Tazkiyyah al-Anfus
iii.    Muzakirat fi Manazil al-Siqdiqqin wa al-Rabbaniyyin

Faktor-Faktor Penulisan siri Spiritual

Said Hawwa menjelaskan antara faktor yang mendorong menulis buku  siri pendidikan spiritual adalah sebagai berikut :
i.    Keperluan Gerakan Islam kontemporari yang terdiri daripada para ulama dan pendakwah terhadap teori dan pandangan yang jelas mengenai tasawuf akan dapat memelihara ilmu ini dari penyimpangan dalam perjalanan alirannya yang sentiasa bergelojak di samping dapat menangkis serangan musuh terhadap ilmu ini. Kehidupan rohani sangat penting bagi para aktivis  gerakan Islam dan tidak boleh abaikan sama sekali. Oleh sebab itu, mengenal tasawuf sangat penting seperti sama penting memahami  tentang persoalan organisasi, agenda aktiviti dan ilmu-ilmu lain. Tanpa semua itu, umat Islam akan kehilangan pegangan.

ii.    Buku-buku yang membicarakan dan mengkaji tentang tasawuf  adalah terhad terutama buku-buku tasawuf yang disusun dalam kerangka akidah ahli sunnah waljamaah dan berbagai mazhab fikahnya. Oleh itu, Said Hawwa  berasa terdorong untuk menyusun sebuah buku tentang tasawuf  kerana buku tasawuf yang beredar selama ini tidak memberi kepuasaan kepada para pembaca terpelajar dengan huraiannya yang tidak sistematik, pengistilahan yang tidak tepat  bahkan cenderung berlebihan. Oleh itu, kehadiran buku yang membicarakannya secara sistematik dan   jelas merupakan satu keperluan.

iii.    Kebanyakan penulis buku tasawuf menjadikan ilmu ini sebagai ilmu khusus (specialized science)  padahal semua orang memerlukan pengetahuan dalam bidang ini kerana banyaknya hal yang berkait dengan keperluan mereka sendiri seperti kesihatan mental, kesucian jiwa  dan perkara-perkara lain yang memang diperlukan semua orang. Oleh sebab itu, buku-buku tersebut perlu dikritik dan dikembalikan kepada kedudukan yang sebenarnya.

iv.    Ilmu tasawuf telah bercampur dengan beberapa hal yang membuatkannya menjadi seperti teka teki. Ilmu tasawuf tampak seperti bukan sebuah ilmu yang mempunyai doktrin yang jelas. Kadangkala tasawuf menjadi ilmu yang terpisah dari ilmu tauhid, fiqh dan usul fiqh. Tidak jarang juga, tasawuf diumpamakan seperti iham yang memiliki kekuatan seperti wahyu dalam menentukan sesuatu syariat dan ketetapan-ketetapan hukum lainnya. Di samping penafsiran makna al-Quran yang mengelirukan kerana memahami al-Quran dari satu sudut sahaja. Sekiranya mereka berusaha memdalami teks dan memahami secara betul, nescaya hal itu merupakan kebaikan dan kesempurnaan. Itulah yang ingin ditengahkan oleh Said Hawwa dalam siri  buku tasawuf ini.

v.    Kebanyakan orang yang menggeluti  dan mengamalkan ilmu tasawuf kurang mempunyai wawasan keislaman. Pemahaman  keislaman mereka sempit bahkan mereka hidup jauh dari zaman mereka sendiri dan jauh dari prinsip-prinsip keislaman yang semestinya diketahui oleh setiap muslim. Oleh sebab itu, sudah menjadi kewajipan bagi gerakan Islam sufistik untuk memperbetul dan meluruskan persoalan itu. Tasawuf harus dikembalikan kepada tempatnya iaitu sebagai pencetus jihad. Beberapa faktor-faktor di atas, Said Hawwa terpanggil untuk menulis dalam siri buku tasawuf. Beliau cuba meluruskan kefahaman dan kekeliruan yang timbul dalam ilmu tasawuf terutama pandangan yang mengatakan bahawa perjalanan menuju Allah hanya melalui jalan sufistik dan tarekat. (Said Hawwa, 1999:5-7)  

Buku Al-Mustakhlis fi Tazkiyyah al-Anfus yang dikarang setelah Tarbityatuna al-Ruhiah adalah bertujuan memperjelaskan lagi kedudukan penyucian jiwa, kaedah dan pelaksanaan melalui ibadat jasmani dan hati. Perkara ini disebabkan buku Tarbiyatuna al-Ruhiah merupakan perbahasan yang mendasar dalam memahami tasawuf. Menurut Said Hawwa antara sumber utama buku Al-Mustakhlis fi Tazkiyyah al-Anfus ini ialah buku Ihya’ Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali. Pemilihan buku ini disebabkan :

i.    Imam al-Ghazali semasa hidupnya telah telah memiliki pandangan yang jauh dan kemudian menunjukkan berbagai kelemahan mengenai kehidupan kerohanian. Beliau telah membicarakan penyakit-penyakit tersebut serta cara mengatasinya. Pandangan-pandangannya dalam hal tersebut adalah jitu dan tepat iaitu penyakit tersebut dapat disembuhkan melalui ubat yang diberikannya.

ii.    Buku ini merangkumi semua perbahasan dalam aspek penyucian jiwa secara lengkap beserta dengan penakrifan, pelaksanaan amalan-amalan tersebut, jenis-jenis penyakit dan cara mengatasinya.

iii.    Kitab Ihya’ mengabungkan antara akal dalam huraiannya (Said Hawwa, 1988:5)
Dalam buku ini, Said Hawwa hanya memilih bab-bab yang penting sahaja dan perbahasan yang tidak menimbulkan perselisihan dan bantahan. Mengenai hadis daif yang sering didapati dalam Ihya’ Ulumiddin, beliau tidak menulisnya dan hanya memgambil hadis yang sahih dan jelas riwayatnya dari Nabi Muhammad SAW.

Tasawuf antara dua persimpangan
Menurut Said Hawwa setiap orang Islam adalah penempuh jalan menuju Allah selagi dia menjalankan semua diperintahkan Allah SWT kepadanya dan dia mempunyai kedudukan tersendiri dalam perjalanan tersebut. Beliau menolak keras pandangan yang mengatakan bahawa perjalanan tersebut menuju Allah hanya dapat ditempuh melalui jalan sufistik. Beliau membantah ahli-ahli sufi ekstrem yang mengatakan bahawa bahawa pengamal-pengamal tarekat sufi sahajalah yang benar-benar penempuh perjalanan menuju Allah.(Said Hawwa, 1999:7)

Sebahagian pengkaji mensyaratkan bagi orang yang ingin menjalani hidup sufi seperti berikut :
i.    Mempunyai potensi iaitu persediaan semulajadi yang tentunya perlu disuburkan melalui usaha dan ijtihad.
ii.    Memasuki tarekat yang sah, iaitu yang sah silsilahnya dan sah gurunya.
iii.    Meneruskan mujahadah dengan bimbingan gurunya untuk mencapai peringkat-peringkat maqamnya. (Mohd Sulaiman Hj Yasin, 1997:80)

Manhaj yang digunakan Said Hawwa ialah menampilkan tasawuf yang bebas sesuai dengan perspektif al-Quran dan al-Sunah serta pelbagai mazhab yang benar kerana ia merupakan  merupakan satu-satu orientasi dalam mengenali tasawuf yang benar. Pengamal-pengamal tasawuf dan juga golongan yang lain bukanlah orang-orang yang bebas dari dosa  dan segala kekeliruan mengenai tasawuf perlu dimurnikan.

Oleh itu, beliau mengatakan dua kewajipan terpenting dalam penulisan buku ini iaitu pertama; mesti menunjukkan kepada manusia perjalanan yang benar menuju Allah SWT. Kedua, mesti membebaskan tasawuf dari pelbagai kabus yang menyelimutinya agar orang muslim tidak jatuh dalam kejahilan yang samar.(Said Hawwa, 1999:12)

Dalam membincangkan mengenai tasawuf ini, Said Hawwa mengatakan bahawa beliau juga terlibat dengan tarekat dan mempelajari tasawuf dari seorang ulama sufi yang terbesar dan sangat terpercaya. Namum perkara ini tidak memaling beliau dari asas yang utama iaitu berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah. Beliau berharap tasawuf dapat dimurnikan seperti berikut :

i.    mewujudkan suatu bentuk tasawuf salafi  yang mempunyai syeikh  dan halaqahnya sendiri iaitu halaqah ilmu dan halaqah zikir.

ii.    Meningkatkan gabungan baik antara manusia dan semakin subur halaqah kebaikan dan pengamal-pengamalnya. Perkara itu mesti berdasarkan pada prinsip-prinsip syariah.

iii.    Keperluan kepada harakah Islamiah  berpegang pada pendidikan sufi sama ada dalam bentuk pemikiran ataupun praktiknya secara umum. Perkara itu juga mesti jelas dari mula kerana ia akan memberi kesan yang positif. Menurut Said Hawwa, sebahagian ahli dakwah yang melibatkan diri dengan tarekat dan bimbingan syeikh telah melupai kepentingan dakwah dan jihad pada era moden ini..

iv.    Era moden kini adalah era syahwat, kesenangan hedonistik dan materialistik. Oleh sebab itu, perlu mengimbangkannya dengan sesuatu yang dapat menjadi penyelesaian kepada masalah tersebut. Said Hawwa yakin jalan penyelesaian tersebut dengan pendidikan spiriual dan bertasawuf. (Said Hawwa:1999:13)

Said Hawwa memberi beberapa catatan dalam siri tasawuf iaitu:

i.    Dalam siri ini, beliau ingin setiap muslim yang menuju Allah akan merasakan hakikat keimanan. Pada masa yang sama, ingin memperkenalkan kepada umat Islam hakikat tasawuf dan ia tidak memperkatakan perkara yang rumit. Beliau berharap agar siri ini boleh dibaca oleh semua orang dan berbagai lapisan,

ii.    Beliau berharap buku ini merupakan permulan kepada umat Islam untuk mempelajari ilmu tasawuf dengan lebih serius melalui karya al-Muhasibi, al-Ghazali dan al-Qusyairi.

iii.    Buku ini merupakan petunjuk kepada orang ramai dalam memahami tasawuf untuk kemudian mengamalkannya. Beliau mengizinkan untuk orang Muslim untuk mengamalkan amalan tersebut dan mengambil manfaat daripada praktiknya serta mengajar kepada orang lain. Di samping itu, beliau juga memanfaat tulisan ini dengan rujukan dan memetik dari buku-buku rasawuf yang dianggap mudah dibaca.

iv.    Beliau berharap bahawa dakwah Islam moden berusaha untuk mengumpulkan warisan kebaikan dan membersihkannya dari kekeliruan yang menyelimutinya. Semua kebaikan yang diperlukan umat ini harus bersih dari “asap” dan inilah kewajipan utama gerakan dakwah masa kini. Begitu juga terdapat gerakan salafi yang berjalan dengan pemahaman yang kurang jelas. Bahkan kadangkala salah. Begitu pula dengan strategi yang menghancurkam “binaan” yang ada. Oleh itu, beliau berharap adanya gerakan salafiah yang memiliki panduan jelas sehingga diketahui mana yang mesti dihancurkan dan mana yang mesti dibentuk atau dibina.

v.    Membina generasi pewaris yang dapat menuhi kewajipan dakwah sesuai dengan keadaan ummat. Mereka mempunyai ilmu, amal dan hati telah bersinergi.(said Hawwa, 1999:15)

Beliau juga menegaskan antara karakteristik tasawuf ialah :
i.    Tasawuf menjadi kecenderungan paling asal dalam jiwa manusia.
ii.    Tidak ada alasan untuk menolak atau menerima tasawuf secara mutlak dengan syarat perlunya ‘alat ukur’ untuk menolak atau menerimanya.
iii.    Tanpa manfaat tasawuf sering manusia tidak mampu mengubati sebahagian besar penyakit mental atau kejiwaan manusia yang ada pada zaman ini. Permasalahn kejiwaan memerlukan pendidikan spiritual. (said Hawwa, 1999:16)

Said Hawwa mempertahankan tawasuf dari golongan yang mengingkarinya. Menurutnya, ilmu tasawuf telah mapan, dan sebagai kemestian sejarah serta didasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Dalam al-Quran dan al-Sunnah, banyak yang menyentuh perkara keimanan,hati, perasaan , penyakit hati dan ubatnya, juwa manusia dan penyucianya. Sangat wajar apabila kemudian muncul ulama-ulama yang mengenal pasti konsep-konsep tersebut menjadi sebuah kajian tersendiri dan melahirkan ilmu tersendiri iaitu ilmu tawasuf dan suluk. Kewujudan ilmu tasawuf bukanlah sesuatu yang aneh malah menjadi kebiasaan ulamak-ulama untuk menulis tema kajian tertentu dalam tulisan tersendiri. Mereka mengumpulkan bahan-bahannya, membandingkan satu sama lain, memberi penjelasan dan memberi jawapan atas semua permasalahan yang berkaitan dengan objek kajiannya. Dari sinilah lahirnya ilmu tasawuf. (Said Hawwa, 1999: 17)

Menurutnya lagi, tasawuf dan persekitaran sufistik sangat mampu mewujudkam manusia yang sempurna iaitu manusia yang selalu memenuhi kewajipan ubudiahnya kepada Allah, manusia yang sangat dermawan dalam segala hal ketika berinteraksi dengan sesamanya. Dengan itu terbentuklah sebuah susunan masyarakat  yang menjunjung tinggi nilai -nilai moral, saling menyayangi, mengasihi dan menghormati. Beliau juga mengakui adanya sebahagian sufi yang mencampuradukkan antara kebaikan dengan ‘asap’ sehingga mempengaruhi bentuk bangunan yang mereka buat. Oeh itu, beliau bertekad  untuk mewujudkan   sebuah pendidikan tawasuf  yang sempurna dan bersih dari “asap”  dan perkara itu perlu diawali dengan persekitaran sufistik yang bersih.(saod Hawwa, 1999:17)

Beliau mengatakan bahawa alasan untuk memberikan perhatian yang lebih terhadap penulisan buku tentang tasawuf kerana tasawuf dan pengamal-pengamalnya adalah mereka yang berjaya berdakwah dengan memasuki berbagai wilayah dan daerah yang tidak dimasuki orang lain. Oleh itu, penulisan tasawuf perlu dalam kerangka membebaskan tasawuf, mengkritiknya dan menempatkan beberapa persoalan pada tempatnya yang tepat. Penulisan tersebut bukan hanya menyebutkan kekeliruan semata-mata tetapi juga perlu menjelaskan bagaimana yang sebenar dan mengemukakan penganti yang lebih baik untuk memperbaiki beberapa kekeliruan. Penulisan buku tersebut mesti ada penjelasan menyeluruh tentang ilmu tasawuf, perilaku dan perkataan ahli-ahlinya. Sekiranya tidak ada penjelasan yang memuaskan, maka kesesatan akan tetap bersemayam di dalam jiwa kerana masih adanya penjelasan yang keliru.(Said Hawwa.1999:8)

You are here: Home